Anugerah dan sumbangan Syeikh Idris al-Marbawi

Atas sumbangan dan jasa besar dalam keagamaan dan persuratan, Syeikh Idris dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 5 Julai 1980. Pada 1 Muharram 1408 Hijrah bersamaan 28 Ogos 1987, beliau diisytihar sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Kebangsaan yang pertama.

Pada 19 April 1988, beliau telah dianugerahkan Pingat Ahli Mahkota Perak (AMP) oleh Sultan Perak, Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Yussuf Izzuddin Shah sempena hari keputeraan baginda.

Beliau ialah seorang tokoh ilmuan yang warak dan amat mementingkan hubungan kekeluargaan. Orang ramai yang mengenali beliau ternyata amat menyenangi dan menghormatinya. Keperibadian mulia di samping ketajaman fikiran walaupun telah berusia 90-an, merupakan aset beliau yang amat berharga. Penghayatan beliau terhadap ilmu, sifat rendah diri, di samping sifat dahagakan ilmu yang dimiliki, tidak dapat dinafikan lagi.

Bahkan semasa diminta berucap setelah dianugerahkan Tokoh Ma’al Hijrah, beliau dengan terus terang menyatakan yang beliau tidak layak berucap di situ kerana merasakan dirinya masih kekurangan ilmu. Dalam satu kejadian lain pula, beliau telah dilihat mengambil wudhu’ dengan menggunakan air yang sangat minimum yang tidak habis segayung air.

Sepanjang hampir 60 tahun berada di Timur Tengah, beliau banyak menjelajah dan menyaksikan pelbagai bentuk kebangkitan Islam selain daripada menjalankan kerja berdakwah. Pengembaraan ini telah banyak memberi kesedaran dan pengalaman berguna kepada beliau. Atas dasar ingin melihat lebih ramai muda-mudi memperolehi pendidikan yang sempurna, beliau telah menggunakan wang ganjaran Tokoh Ma’al Hijrah untuk membolehkan anaknya menubuhkan sebuah Kolej Pengajian Islam yang dinamakan Kolej Idris Al-Marbawi Al-Islami di Ipoh, Perak. Tenaga pengajarnya terdiri daripada anaknya, Mariam dan cucu-cucunya serta beberapa orang tenaga pengajar luar.